MARI KITA MENDENGAR CERITA

Selasa, 27 April 2010

ANJING DENGAN BAYANG-BAYANG




Di dalam sebuah kampung, ada seekor anjing yang sudah tua lagi terbiar. Tidak ada sesiapa yang mahu mendekatinya apatah lagi untuk memeliharanya.  Sebelum ini, anjing tersebut telah dipelihara oleh satu keluarga  berbangsa Cina. Setiap hari makanannya sedap belaka dan makanannya pula disediakan mengikut masa yang tepat. Bulunya cantik berkilat kerana sentiasa disikat dan dimandikan oleh tuannya setiap hari.  Apabila ia berasa lapar, ia tidak perlu mencarinya kerana makanannya telah disediakan di hujung beranda.  Tetapi apabila ia sudah tua, tuannya tidak mahu memeliharanya lagi malah ia dihalau seperti anjing kurap. Betul kata pepatah melayu anjing kurap bermaksud sesuatu yang tidak elok dan tidak berguna lagi.

Setiap hari sukar bagi anjing tersebut untuk mencari makan. Apabila terserempak dengan manusia pula, ada yang membaling batu dan ada pula yang membalingnya dengan kayu. Terpaksalah anjing itu lari menyelamatkan dirinya kerana takut akan terkena batu atau kayu. Kadang kala hinggap juga batu atau kayu di kaki atau di badannya. Apa lagi luka dan lebam di kaki atau badannya. Setiap hari anjing tersebut terpaksa merayau-rayau di kawasan sampah sarap dengan mengharapkan agar ada saki baki makanan yang boleh dimakan untuk mengisi perutnya yang lapar.

Pada suatu hari, sedang anjing itu berjalan-jalan di satu kawasan kampung, tiba-tiba ia telah terjumpa seketul tulang. Hatinya sangat gembira tidak terkata kerana hari itu merupakan rezekinya yang tidak disangka-sangka. Cepat-cepat anjing tersebut menggonggong tulang itu dan ia pun berlari dengan sekuat hatinya agar tidak ada sesiapa yang melihatnya.

Anjing itu pun berlari dan terus berlari sehinggalah ia sampai di sebuah sungai di hujung kampung. Anjing tersebut terpaksa melalui sebatang titi untuk meneruskan perjalanannya agar dia boleh memakan tulang itu dengan tidak ada sesiapa yang akan mengganggunya. Ia melalui titi tersebut dengan penuh berhati-hati agar tulang itu tidak jatuh ke dalam sungai itu. Sambil ia melalui titi tersebut, dia terasa seperti ada anjing lain yang sedang mengikutinya. Perlahan-lahan ia berjalan di tepi titi tersebut dan kelihatan ada seekor anjing lain yang sedang menggonggong tulang sepertinya.

Tiba-tiba timbul perasaan tamak di dalam hatinya. Maka ia pun berfikir jika dia dapat mengambil tulang yang digonggong oleh anjing di dalam sungai itu, maka dia akan mempunyai satu lagi tulang yang menjadikannya ada dua ketul tulang. Dia terus menyalak sambil menunjukkan taringnya yang tajam untuk menakutkan anjing yang ada di dalam sungai itu. Dengan salakannya itu ia mengharapkan agar anjing yang berada di dalam sungai itu lari kerana takut dan meninggalkan tulang yang sedang digonggongnya.
anjing sedang melihat bayang-bayangnya di dalam air

Apatah lagi, tiba-tiba tulang yang digonggongnya pun terus jatuh ke dalam sungai. Terkebil-kebil matanya melihat tulangnya yang telah hilang dari penglihatannya dan tenggelam tidak kelihatan lagi.  Alangkah kasihannya anjing tersebut kerana dia tidak dapat merasai kenikmatan tulang yang baru sahaja diperoleh pada hari itu.

Kesimpulan dari cerita ini ialah orang yang tamak selalu rugi. Sekiranya anjing tua itu  tidak berasa dengki terhadap anjing yang dilihatnya di dalam sungai itu tulangnya tidak akan jatuh ke dalam sungai. Diharap adik-adik jangan ada perasaan tamak atau dengki terhadap oang lain, kerana sikap itu boleh merugikan diri sendiri dan sikap yang sedemikian adalah sikap yang tercela di sisi Allah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan