MARI KITA MENDENGAR CERITA

Rabu, 12 Mei 2010

SANG KANCIL YANG CERDIK




Sang Kancil memang terkenal dengan otaknya yang sangat pintar lagi cerdik.  Pada suatu hari sedang Sang Kancil berjalan-jalan mencari makan, tiba-tiba terasa dirinya tergantung di atas pokok dan kedua-dua kakinya terikat dengan seutas tali yang sangat kuat.  Rupa-rupanya Sang Kancil telah terkena jerat yang dipasang oleh seorang lelaki yang tinggal  di sebuah kampung yang berdekatan dengan hutan itu.  Sudah puas Sang Kancil memberonta-ronta untuk cuba melepaskan dirinya.  Malangnya semakin ia memberonta-ronta semakin kuat ikatan yang mengikat kakinya.   Akhirnya Sang Kancil keletihan.  Matahari semakin tinggi, perutnya semakin lapar.  Dan ia berputus asa dan berserah apa yang akan berlaku.
Tiba-tiba terdengar suatu bunyi seperti ada penghuni lain di kawasan itu.  Semakin lama bunyi itu semakin hampir dengan Sang Kancil.  Kelihatan seorang lelaki sedang melihat jeratnya yang sudah mengena.   Di dalam hatinya berkata malam ini ia makan malam berlaukkan gulai kancil.  "Hm.....masak lemak cili api tentu sedap" kata lelaki itu di dalam hatinya. Hatinya gembira tidak terkata.
Sang Kancil berasa sungguh takut, tapi apakan daya kerana kedua-dua kakinya telah terikat.  Lelaki itu pun membuka jerat dan membawa Sang Kancil pulang ke rumahnya. Sampai sahaja di rumah, lelaki itu pun menggantungkan Sang Kancil itu di sebatang pokok yang rendang.  Ia ingin membersihkan dirinya dahulu dan kemudian hendak pergi ke dapur menjamah sedikit makanan kerana perutnya sangat lapar.  Apabila Sang Kancil melihat lelaki itu pergi, ia mula berfikir bagaimana caranya untuk ia melepaskan dirinya.
Setelah hampir dua jam, lelaki itu muncul dan ia mengambil pisau dan mengasahnya sehingga tajam agar mudah untuk ia menyembelih Sang Kancil itu nanti.  Apabila lelaki itu menuju ke arah Sang Kancil yang digantungnya di sebatang pokok, dilihatnya Sang Kancil telah pun mati.  Lidahnya terjulur keluar, banyak lalat yang sedang menghurunginya. "Alahai, matilah pulak Si Kancil ini, kenapalah aku tidak menyembelihnya awal-awal tadi".  Rasa menyesal timbul di dalam hatinya kerana terlewat untuk menyembelih Sang Kancil.  "Nampaknya kempunanlah aku untuk merasai gulai cili api kancil malam ini".  Dengan rasa hampa dibukanya ikatan di kaki Sang Kancil perlahan-lahan dan dibawanya ke belakang rumah.  Lelaki itu terus menghumban Sang Kancil itu ke dalam himpunan sampah sarap. 
Apabila Sang Kancil terasa dirinya telah bebas dengan cepat dia bangun dan berlari sekuat-kuat hatinya ke dalam semak.  Terpinga-pinga lelaki itu kerana Sang Kancil yang disangka mati rupanya masih hidup.  Sejak dari peristiwa itu, lelaki itu berjanji akan memastikan setiap binatang yang menjadi mangsa jeratnya itu betul-betul telah mati sebelum untuk membuangnya.
Sebab itulah Sang Kancil dikenali sebagai binatang yang cerdik.  Ada sahaja ideanya yang menyebabkan dirinya terselamat dari sebarang bahaya. Jumpa lagi adik-adik. Wasalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan