Jumaat, 12 November 2010

KANCIL DENGAN BUAYA!

Di suatu pagi yang cerah, kelihatan Sang Kancil sedang berjalan-jalan mencari makan.  Semasa ia sedang mencari mencari pucuk-pucuk muda untuk dimakan, kebanyakan pucuk-pucuk muda di sekelilingnya semuanya telah dimakan oleh binatang yang lain.  Tiba-tiba Ia terpandanag di seberang sungai tempat ia berdiri terdapat banyak tumbuhan pucuk daun muda yang masih belum diusik lagi.  Terliur rasanya untuk ia menikmati pucuk daun muda itu.

Sang Kancil berfikir bagaimana caranya agar ia dapat menyeberang sungai tersebut supaya ia dapat menikmati pucuk-pucuk daun muda itu.  Tetapi yang menjadi masalah kepadanya terdapat banyak buaya dalam sungai tersebut dan sedang terapung di permukaan sungai menunggu mangsanya.  Tiba-tiba ia mempunyai satu idea yang boleh membantunya untuk bmenyeberang sungai itu.  Sang Kancil pun menghampiri tebing sungai yang agak tinggi dan bersuara dengan kuat.

Sang Kancil :  Perhatian! Perhatian! Wahai Sang Buaya semua!  Wahai Sang Buaya Semua!  Sila berkumpul di sini!.

Semua Sang Buaya memandang ke arah Sang Kancil dan berasa kehairanan di atas sikap Sang Kancil yang tidak takut dengan mereka.  Semua Sang Buaya menghampiri ke arah Sang Kancil dan salah seekor Sang Buaya terus berkata dengan sombongnya.

Sang Buaya : Wahai Sang Kancil, berani kamu memanggil kami ke mari.  Tidak takutkah kamu akan kami? Jika kamu menghampiri kami, kami akan makan kamu dengan cepat sekali.

Sang Kancil:  Wahai Sang Buaya yang berada di dalam sungai ini. Aku telah mendapat satu perintah dari Nabi Sulaiman.  Tidakkah kamu tahu Nabi Sulaiman telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t bahawa beliau merupakan satu-satunya nabi yang boleh bertutur dengan semua binatang-binatang!

Sang Buaya:  Apakah arahan yang kamu dapat dari Nabi Sulaiman itu?

Sang Kancil:  Nabi Sulaiman telah memerintahkan aku untuk mengira berapakah jumlah buaya di dalam sungai ini.

Sang Buaya:  Mengapakah Nabi Sulaiman memerintahkan kepada kamu untuk mengira kami semua?

Sang Kancil :  Nabi Sulaiman ingin memberikan hadiah kepada kamu semua.  Oleh itu, beliau menyuruh aku mengira berapakah jumlah kamu semua agar kamu semua mendapat hadiah itu nanti.

Semua Sang Buaya berkumpul dan bermesyuarat sesama mereka.  Tidak lama kemudian salah satu Sang Buaya pun menghampiri kepada Sang Kancil.

Sang Buaya:  Baiklah, jika benar perintah itu datangnya daripada Nabi Sulaiman, kami semua menurut apa yang telah diarahkan.

Kemudian Sang Buaya itu bersuara dengan kuat kepada semua buaya yang ada di sungai itu.

Sang Buaya:  Wahai buaya semua, mari kita semua beratur agar mudah Sang Kancil untuk mengira berapakah jumlah bilangan kita semua.

Maka semua buaya-buaya itu berhimpit-himpit dan berbaris agar mudah Sang Kancil untuk mengira mereka semua. Dengan cepat Sang Kancil pun turun dari tebing dan memijak di belakang setiap harimau itu sambil mengira.

Sang Kancil: Satu, dua, tiga lekuk, jantan betina aku ketuk. Empat, lima, enam lekuk....




Begitulah yang dilakukan oleh Sang Kancil mengira jumlah semua buaya itu sambil mengetuk kepala mereka sehinggalah ia sampai di tebing di sebelah sana. Apabila ia sampai sahaja di tebing di seberang sungai itu, dengan cepat ia melompat naik ke atas tebing sungai dengan perasaan yang gembira kerana  ia akan dapat menikmati pucuk-pucuk muda di kawasan itu.

Sang Kancil: Wahai Sang Buaya semua! Terima kasih kerana memberiku laluan untuk aku menyeberang di sungai ini. Sebenarnya aku telah menipu kamu semua dan tidak ada sebarang perintah pun dari Nabi Sulaiman kepadaku.

Semua Sang Buaya berpandangan dan marah kerana Sang Kancil berani menipu mereka sedangkan ia hanya seekor binatang yang kecil dan lemah.

Sang Buaya: Cis, Sang Kancil! berani kamu menipu kami semua. Nanti jika kamu hendak menyeberang sungai ini lagi, kami akan memakan kamu ..Tunggulah nanti..

Sang Kancil meneruskan perjalanannya untuk mengisi perutnya yang sudah lapar itu. Dalam hatinya berjanji, ia akan berhati-hati agar tidak berjumpa lagi dengan Sang Buaya.

Adik-adik, jangan suka bermain api..nanti memakan diri..jika adik-adik ingin menonton cerita terbitan dari Filem Negara Malaysia, klik di bawah ini.





Rabu, 10 November 2010

BURUNG MERAK DENGAN BURUNG GAGAK

Pada zaman dahulu dipercayai semua bulu binatang berwarna putih. Mereka semua sentiasa hidup dalam keadaan yang aman damai. Burung Merak dan Burung Gagak merupakan kawan baik. Dimana ada Burung Merak sudah semestinya di situ juga ada Burung Gagak.

Pada suatu hari Burung Merak dan Burung Gagak berjalan-jalan dan merayau-rayau sehingga sampai di satu padang. Di kawasan itu dipenuhi dengan pelbagai bunga-bungaan yang berwarna-warni menghiasi padang tersebut. Burung Merak dan Burung Gagak terpegun dan terpesona melihat keindahan bunga-bungaan yang pelbagai warna itu.

Tiba-tiba timbul perasaan di hati Burung Merak untuk mewarnakan bulunya. Beliau pun berkata kepada kawannya Burung Gagak.

Burung Merak: Wahai Burung Gagak, cantik sungguh pemandangan di sini. Bermacam-macam warna bunga yang tumbuh menghiasi padang ini.

Burung Gagak:  Betul itu Burung Merak.  Semua warna dan jenis bunga terdapat di sini.  Lihat bunga mawar di sana tu,  ada yang berwarna merah, warna kuning, warna oren dan bermacam-macam lagi.

Burung Merak:  Oh ya... Burung Gagak, Sekiranya bulu kita ini diwarnakan dengan warna-warna bunga itu, tentu bulu kita nampak cantik, kan!  Bagaimana cadangan aku itu?  Engkau setuju tak?

Burung Gagak:  Ya...Bagus betul cadangan engkau itu Burung Merak.  Aku pun suka juga sekiranya kita warnakan bulu kita ini. Nanti semua binatang lain akan terpegun melihat kita berdua.

Burung Merak:  Ohhh,!...Aku sudah tidak sabar lagilah   untuk warna bulu kita ini.  Jom! kita petik bunga-bunga itu.

Burung Gagak:  Jom!...aku pun sudah tidak sabar lagi ni....

Berebut-rebut Burung Merak dan Burung Gagak memetik pelbagai bunga yang berwarna-warni itu untuk mewarnakan bulu mereka masing-masing. Setelah masing-masing sudah mempunyai warna yang mereka kehendaki, mereka pun berhenti rehat di tepi sebatang sungai.

Burung Merak:  Hai Burung Gagak, bolehkah engkau mewarnakan bulu aku ini dahulu. Tidak sabar pula aku untuk menjadikan bulu aku ini cantik dan berwarna-warni.

Burung Gagak:  Baiklah Burung Merak. Tetapi dengan syarat.  Selepas aku mewarnakan bulu engkau, lepas itu engkau pula mewarnakan bulu aku pula.

Burung Merak:  Baiklah Burung Gagak. Aku berjanji,  selepas engkau mewarnakan bulu aku ini, aku akan mewarnakan bulu engkau itu.

Burung Gagak pun mulalah mewarnakan bulu Burung Merak dengan tekun dan berhati-hati agar bulu Burung Merak akan kelihatan cantik sekali. Ia mewarnakan bulu Burung Merak dengan pelbagai warna. Di dalam hatinya berkata selepas ini tentu Burung Merak juga akan mewarnakan bulunya dengan cantik juga. Setelah sekian lama, akhirnya siap bulu Burung Merak diwarnakan. Burung Gagak kepenatan. Cepat-cepat Burung Merak melihat badannya sambil melebarkan ekornya.



Burung Merak: Ohhh! Cantiknya bulu aku ini. Terima kasih Burung Gagak. Pandainya engkau mewarnakan bulu aku dengan pelbagai warna dan corak.

Burung Gagak: Ya..sama-sama. Hai Burung Merak, aku berasa sangat laparlah kerana terlalu lama aku mewarnakan bulu engkau itu.

Burung Merak:  Baiklah Burung Gagak. Pergilah makan dahulu. Nanti bila engkau balik, aku pula akan mewarnakan bulu engkau itu.

Maka dengan cepat Burung Gagak pergi untuk mencari makan untuk mengisi perutnya yang sangat lapar. Burung Merak pula terus mengembangkan ekornya sambil melihat bulunya yang sangat cantik itu. Ia merasa sangat gembira dan bangga kerana mempunyai bulu yang sangat cantik.  Ia mula berfikir tentu binatang lain akan memuji akan bulunya yang cantik itu. Maka timbul perasaan dengki di hati Burung Merak.  Sekiranya warna bulu Burung Gagak juga kelihatan cantik, bukan dirinya seorang akan menjadi tumpuan tetapi Burung Gagak juga akan menjadi tumpuan binatang-binatang yang lain.


Tidak beberapa lama kemudian, Burung Gagak pun kembali semula dari mencari makan.  Dia pun meminta agar Burung Merak mewarnakan bulunya pula agar ia juga akan kelihatan cantik.

burung merak - gambar ini diambil oleh anakku semasa melawat di Taman Burung, Kuala Lumpur.


Burung Gagak:  Hai Burung Merak.  Sekarang bolehlah engkau mewarnakan bulu aku pula.

Burung Merak:  Baiklah, Burung Gagak.  Sementara aku warnakan bulu engkau itu, engkau tidurlah jika engkau kepenatan.

Burung Gagak.  Baiklah.

Burung Gagak yang kepenatan kerana mewarnakan bulu Burung Merak itu tadi, akhirnya tertidur.  Semasa ia tertidur itu, Burung Merak telah mencampurkan semua bunga-bunga kepunyaan Burung Gagak itu dan akhirnya warna itu menjadi warna hitam.  Kemudian warna itu dilumurkan di setiap bulu Burung Gagak tanpa pengetahuannya.  Setelah siap bulu Burung Gagak diwarnakan, akhirnya Burung Gagak pun terjaga dari tidurnya.

Burung Gagak:  Sudah siapkah hai Burung Merak?

Burung Merak:  Sudah..bagaimana dengan warna ini?  Engkau suka tak?

Burung Gagak:  Ehh...Kenapa semua buluku diwarnakan dengan warna hitam?


burung gagak


Burung Merak:  Eloklah bulu engkau diwarnakan dengan warna hitam.  Jika engkau memakan bangkai di tempat kotor, bulu engkau masih lagi kelihatan bersih.

Burung Gagak sangat marah di atas sikap Burung Merak yang tidak berterima kasih kerana ia telah membuatkan bulu Burung Merak kelihatan cantik, tetapi Burung Merak tidak berbuat demikian.

Burung Gagak:  Cis! Sampai hati engkau berbuat demikian.  Jika beginilah sikap engkau, aku tidak mahu lagi berkawan dengan engkau buat selamanya.



Maka Burung Gagak pun terbang tinggi meninggalkan Burung Merak kesaorangan di situ.  Sejak dari itulah, Burung Gagak dan Burung Merak tidak menjadi kawan baik.  Adik-Adik, Ibu berharap adik-adik jangan bersikap seperti Burung Merak yang hanya mementingkan diri sendiri sahaja.  Sekiranya orang berbuat baik dengan adik-adik, hendaklah adik-adik berbuat baik juga dengan mereka.  Jumpa lagi di cerita yang lain pula. Wasalam.

Rabu, 12 Mei 2010

SANG KANCIL YANG CERDIK




Sang Kancil memang terkenal dengan otaknya yang sangat pintar lagi cerdik.  Pada suatu hari sedang Sang Kancil berjalan-jalan mencari makan, tiba-tiba terasa dirinya tergantung di atas pokok dan kedua-dua kakinya terikat dengan seutas tali yang sangat kuat.  Rupa-rupanya Sang Kancil telah terkena jerat yang dipasang oleh seorang lelaki yang tinggal  di sebuah kampung yang berdekatan dengan hutan itu.  Sudah puas Sang Kancil memberonta-ronta untuk cuba melepaskan dirinya.  Malangnya semakin ia memberonta-ronta semakin kuat ikatan yang mengikat kakinya.   Akhirnya Sang Kancil keletihan.  Matahari semakin tinggi, perutnya semakin lapar.  Dan ia berputus asa dan berserah apa yang akan berlaku.

Tiba-tiba terdengar suatu bunyi seperti ada penghuni lain di kawasan itu.  Semakin lama bunyi itu semakin hampir dengan Sang Kancil.  Kelihatan seorang lelaki sedang melihat jeratnya yang sudah mengena.   Di dalam hatinya berkata malam ini ia makan malam berlaukkan gulai kancil.  "Hm.....masak lemak cili api tentu sedap" kata lelaki itu di dalam hatinya. Hatinya gembira tidak terkata.
Sang Kancil berasa sungguh takut, tapi apakan daya kerana kedua-dua kakinya telah terikat.  Lelaki itu pun membuka jerat dan membawa Sang Kancil pulang ke rumahnya. Sampai sahaja di rumah, lelaki itu pun menggantungkan Sang Kancil itu di sebatang pokok yang rendang.  Ia ingin membersihkan dirinya dahulu dan kemudian hendak pergi ke dapur menjamah sedikit makanan kerana perutnya sangat lapar.  Apabila Sang Kancil melihat lelaki itu pergi, ia mula berfikir bagaimana caranya untuk ia melepaskan dirinya.

Setelah hampir dua jam, lelaki itu muncul dan ia mengambil pisau dan mengasahnya sehingga tajam agar mudah untuk ia menyembelih Sang Kancil itu nanti.  Apabila lelaki itu menuju ke arah Sang Kancil yang digantungnya di sebatang pokok, dilihatnya Sang Kancil telah pun mati.  Lidahnya terjulur keluar, banyak lalat yang sedang menghurunginya. "Alahai, matilah pulak Si Kancil ini, kenapalah aku tidak menyembelihnya awal-awal tadi".  Rasa menyesal timbul di dalam hatinya kerana terlewat untuk menyembelih Sang Kancil.  "Nampaknya kempunanlah aku untuk merasai gulai cili api kancil malam ini".  Dengan rasa hampa dibukanya ikatan di kaki Sang Kancil perlahan-lahan dan dibawanya ke belakang rumah.  Lelaki itu terus menghumban Sang Kancil itu ke dalam himpunan sampah sarap. 

Apabila Sang Kancil terasa dirinya telah bebas dengan cepat dia bangun dan berlari sekuat-kuat hatinya ke dalam semak.  Terpinga-pinga lelaki itu kerana Sang Kancil yang disangka mati rupanya masih hidup.  Sejak dari peristiwa itu, lelaki itu berjanji akan memastikan setiap binatang yang menjadi mangsa jeratnya itu betul-betul telah mati sebelum untuk membuangnya.

Sebab itulah Sang Kancil dikenali sebagai binatang yang cerdik.  Ada sahaja ideanya yang menyebabkan dirinya terselamat dari sebarang bahaya. Jumpa lagi adik-adik. Wasalam.

Rabu, 28 April 2010

KUCHING DENGAN HARIMAU

Pada zaman dahulu dipercayai kuching dan harimau merupakan kawan karib. Dimana ada harimau, disitulah juga akan adanya kuching. Persahabatan mereka berdua memang diketahui oleh semua penghuni di hutan itu.

Pada suatu hari kuching sedang mengintai seekor tikus yang sedang menyorok di dalam sebuah lubang berhampiran busut di tepi hutan. Dari jauh kelihatan seekor Serigala yang besar sedang berlegar-legar di tepi hutan sedang mencari makanan. Tiba-tiba Serigala itu terlihat Kuching sedang merangkak-rangkak di tepi busut yang cuba untuk menangkap tikus. Kuching terasa ia sedang diperhatikan. Ia pun memandang di sekelilingnya, kelihatan Serigala sedang merenungnya dengan air liurnya meleleh di mulutnya. Serigala merasakan inilah makanannya untuk hari itu. Apabila kuching ternampak Serigala yamag sedang memerhatikannya, ia pun terus berlari sekuat-kuat hatinya. Pada ketika itu Harimau berada agak jauh dari Kuching. Serigala berlari ke arah kuching untuk menangkapnya kerana kerana pagi itu ia belum lagi menjamah sebarang makanan. Semasa kuching berlari untuk menyelamatkan dirinya, ia terlihat sebatang pokok di hadapannya. Tanpa berlengah lagi, ia terus memanjat pokok tersebut sehingga sampai ke dahan yang agak tinggi. Apabila Serigala sampai sahaja di bawah pokok itu, ia melihat kuching telah pun berada di atas pokok sambil duduk di dahan yang tinggi. Apa yang boleh dibuat oleh Serigala hanyalah menyalak sahaja untuk menakutkan kuching itu. Harimau melihat kejadian yang berlaku. Harimau juga dapat melihat bagaimana Kuching boleh memanjat pokok yang tinggi itu dengan cepat dan cekap. Ia berasa amat kagum dengan kepandaian Kuching memanjat pokok itu. Ia bergegas berlari ke arah Serigala untuk menyelamatkan kawannya Kuching.

Harimau menjadi marah kerana Serigala ingin membunuh kawan baiknya, Kuching. Harimau itu mengaum dan berlari mengejar Serigala itu. Serigala terperanjat apabila terdengar ngauman Harimau. Ia terus berlari masuk ke dalam hutan meninggalkan Kuching yang masih lagi berada di atas pokok.

Apabila Kuching merasakan dirinya telah terselamat, ia pun terus turun dari pokok tersebut. Kuching mengucapkan terima kasih kepada Harimau kerana telah menyebabkan Serigala itu lari ke dalam hutan. Terdetik di hati Harimau untuk meminta Kuching mengajarnya bagaimana memanjat pokok. Ada perasaan malu untuk bertanya kerana walaupun ia digelar Raja Rimba tapi masih ada kekurangan di dalam dirinya. Akhirnya ia bersuara juga.

Harimau : "Hai Kuching, pandai sungguh engkau memanjat pokok. Bolehkah engkau mengajarku memanjat pokok?

Kuching menjawab : "Boleh Harimau, apa salahnya. Tapi buat apa engkau hendak belajar memanjat pokok?"

Harimau: "Manalah tahu sekiranya ada musuhku yang ingin menangkap aku nanti".

Kuching: "Adakah binatang lain yang berani menentangmu?

Harimau: "Ada, Singa juga merupakan musuh utamaku".

kuching: "Ohh...Kalau begitu baiklah. Mari kuajar bagaimana untuk memanjat pokok".

Kuching pun mengajar Harimau bagaimana untuk memanjat pokok. Akhirnya berjaya juga Harimau sampai di atas pokok itu. Sampai sahaja Harimau di atas pokok tersebut, Kuching pun terus turun ke bawah kerana tempat di atas pokok tersebut menjadi sempit memandangkan saiz Harimau yang sangat besar.

Kuching: "Wah! Harimau, engkau sudah pandai memanjat pokok. Sekarang engkau turunlah dari pokok itu".

Harimau: "Bagaimana aku hendak turun dari pokok ini. Engkau belum lagi mengajarku bagaimana hendak turun".

Kuching: "Bagaimana aku hendak mengajar engkau turun, aku tidak dapat berada bersama-sama dengan engkau kerana di atas itu sempit".

Harimau: "Habis, bagaimana aku hendak turun dari pokok ini?"

Kuching: "Bukannya susah, engkau terjun sahajalah seperti yang aku lakukan tadi"

Harimau: "Aku takut hendak turunlah, kerana badanku besar dan pokok ini pun agak tinggi".

Kuching: "Ah...turun sajalah Harimau, Takkan engkau hendak duduk di atas pokok itu selama-lamanya".

Harimau menjadi marah kerana sikap Kuching yang tidak mahu naik ke atas pokok untuk mengajarnya turun dari pokok itu. Berkali-kali Harimau menyuruhnya naik ke atas, tetapi Kuching masih tidak lagi mahu naik ke atas kerana ruangnya untuk naik ke atas pokok itu terlalu sempit. Harimau mula naik angin atas sikap Kuching yang tidak acuh untuk mengajarnya.

Harimau: Hai Kuching, mulai hari ini aku bukan lagi kawan baikmu. Jika aku berjumpa denganmu atau keturunanmu nescaya aku akan baham kamu sehingga tiada lagi daging melekat pada tulangmu".

Apabila Kuching melihat Harimau terlalu marah kepadanya, ia pun berlari sekuat-kuat hatinya ke dalam hutan meninggalkan Harimau yang masih lagi berada di atas pokok. Ia ingin pergi jauh dari situ agar tidak berjumpa lagi dengan Harimau. Matahari semakin tinggi, Harimau berasa takut untuk turun ke bawah. Akhirnya Harimau nekad dan mencuba juga untuk turun ke bawah. Ia pun terus terjun dari pokok tersebut. Memandangkan badannya yang berat dan besar, semasa ia terjun kakinya terseliuh dan luka-luka. Harimau juga tidak dapat mengejar Kuching kerana kakinya telah tercedera. Ia berjanji kepada dirinya sekiranya ia berjumpa Kuching atau keturunannya, ia akan membunuh mereka semua.

Sejak dari itu, apabila Kuching membuang najis tentu ia akan mengkambuskan najisnya dengan tanah supaya Harimau tidak dapat mengesan kedudukannya atau menjejakinya. Wasalam.

Selasa, 27 April 2010

ANJING DENGAN BAYANG-BAYANG




Di dalam sebuah kampung, ada seekor anjing yang sudah tua lagi terbiar. Tidak ada sesiapa yang mahu mendekatinya apatah lagi untuk memeliharanya.  Sebelum ini, anjing tersebut telah dipelihara oleh satu keluarga  berbangsa Cina. Setiap hari makanannya sedap belaka dan makanannya pula disediakan mengikut masa yang tepat. Bulunya cantik berkilat kerana sentiasa disikat dan dimandikan oleh tuannya setiap hari.  Apabila ia berasa lapar, ia tidak perlu mencarinya kerana makanannya telah disediakan di hujung beranda.  Tetapi apabila ia sudah tua, tuannya tidak mahu memeliharanya lagi malah ia dihalau seperti anjing kurap. Betul kata pepatah melayu anjing kurap bermaksud sesuatu yang tidak elok dan tidak berguna lagi.

Setiap hari sukar bagi anjing tersebut untuk mencari makan. Apabila terserempak dengan manusia pula, ada yang membaling batu dan ada pula yang membalingnya dengan kayu. Terpaksalah anjing itu lari menyelamatkan dirinya kerana takut akan terkena batu atau kayu. Kadang kala hinggap juga batu atau kayu di kaki atau di badannya. Apa lagi luka dan lebam di kaki atau badannya. Setiap hari anjing tersebut terpaksa merayau-rayau di kawasan sampah sarap dengan mengharapkan agar ada saki baki makanan yang boleh dimakan untuk mengisi perutnya yang lapar.

Pada suatu hari, sedang anjing itu berjalan-jalan di satu kawasan kampung, tiba-tiba ia telah terjumpa seketul tulang. Hatinya sangat gembira tidak terkata kerana hari itu merupakan rezekinya yang tidak disangka-sangka. Cepat-cepat anjing tersebut menggonggong tulang itu dan ia pun berlari dengan sekuat hatinya agar tidak ada sesiapa yang melihatnya.

Anjing itu pun berlari dan terus berlari sehinggalah ia sampai di sebuah sungai di hujung kampung. Anjing tersebut terpaksa melalui sebatang titi untuk meneruskan perjalanannya agar dia boleh memakan tulang itu dengan tidak ada sesiapa yang akan mengganggunya. Ia melalui titi tersebut dengan penuh berhati-hati agar tulang itu tidak jatuh ke dalam sungai itu. Sambil ia melalui titi tersebut, dia terasa seperti ada anjing lain yang sedang mengikutinya. Perlahan-lahan ia berjalan di tepi titi tersebut dan kelihatan ada seekor anjing lain yang sedang menggonggong tulang sepertinya.

Tiba-tiba timbul perasaan tamak di dalam hatinya. Maka ia pun berfikir jika dia dapat mengambil tulang yang digonggong oleh anjing di dalam sungai itu, maka dia akan mempunyai satu lagi tulang yang menjadikannya ada dua ketul tulang. Dia terus menyalak sambil menunjukkan taringnya yang tajam untuk menakutkan anjing yang ada di dalam sungai itu. Dengan salakannya itu ia mengharapkan agar anjing yang berada di dalam sungai itu lari kerana takut dan meninggalkan tulang yang sedang digonggongnya.
anjing sedang melihat bayang-bayangnya di dalam air

Apatah lagi, tiba-tiba tulang yang digonggongnya pun terus jatuh ke dalam sungai. Terkebil-kebil matanya melihat tulangnya yang telah hilang dari penglihatannya dan tenggelam tidak kelihatan lagi.  Alangkah kasihannya anjing tersebut kerana dia tidak dapat merasai kenikmatan tulang yang baru sahaja diperoleh pada hari itu.

Kesimpulan dari cerita ini ialah orang yang tamak selalu rugi. Sekiranya anjing tua itu  tidak berasa dengki terhadap anjing yang dilihatnya di dalam sungai itu tulangnya tidak akan jatuh ke dalam sungai. Diharap adik-adik jangan ada perasaan tamak atau dengki terhadap oang lain, kerana sikap itu boleh merugikan diri sendiri dan sikap yang sedemikian adalah sikap yang tercela di sisi Allah

SANG ARNAB DENGAN SANG KURA-KURA


Pada zaman dahulu, dipercayai semua binatang boleh bercakap sesama mereka. Pada suatu hari ada sekor Arnab yang sedang bermain-main di padang rumput. Hatinya riang tidak terkira kerana tiada siapa yang mengganggunya.

Arnab













Sedang Sang Arnab berlari-lari sambil menyanyi, tiba-tiba Sang Arnab terlihat Sang Kura-Kura yang sedang berjalan-jalan di hujung padang tempatnya bermain-main.  Sang Arnab terhenti berlari-lari,  sambil matanya memerhati Sang Kura-Kura yang sedang berjalan amat perlahan. Terdetik di hatinya untuk menegur Sang Kura-Kura.





 Arnab : "Selamat pagi, Sang Kura-Kura!".

Kura-Kura : "Selamat Pagi Sang Arnab".

Arnab : "Hai Sang Kura-Kura.  Kenapa aku lihat engkau ini berjalan amat perlahan.  Tidak bolehkah engkau berjalan laju sedikit. Kasihan betul aku melihat engkau berjalan sedemikian rupa".

Kura-Kura : "Wahai Sang Arnab,  Sememangnya aku berjalan sedemikian rupa. Buat apa aku nak berjalan laju-laju pula. Lagi pun aku sedang menikmati pemandangan yang indah dan sejuk di sini".

Arnab : "Agak-agaknya kalau aku berlumba dengan engkau tentu aku yang akan menang"  kata Sang Arnab dengan angkuhnya sambil ia melihat reaksi muka Sang Kura-Kura yang acuh tidak acuh dengan soalannya.

Kura-Kura

Kura-Kura : "Hmmm.......tidak semestinya Sang Arnab. Belum cuba belum tahu,. Kata Sang Kura-Kura yang juga tidak mahu mengalah. Geram sungguh Sang Kura-Kura melihat sikap Sang Arnab yang begitu sombong dan dan bongkak itu.  Tetapi di dalam hatinya berasa bimbang juga melihat Sang Arnab yang bersungguh-sungguh untuk berlumba dengannya.

Arnab : "Betulkah Sang Kura-Kura. Berani engkau nak berlumba denganku? Baiklah..  Hmmm.....Bagamana kalau kita bertanding berlumba lari".

Kura-Kura : " Baiklah Sang Arnab.  Aku setuju".
Arnab : "Cuba engkau lihat pokok besar di hujung jalan sana itu. Siapa yang sampai dahulu di pokok besar di hujung jalan itu, dialah yang akan menang".

Kura-Kura : "Baiklah".

Arnab : "O.k. Satu! Dua! Tiga!".  jerit Sang Arnab tanpa melihat Sang Kura-Kura sambil berlari dengan lajunya.

Sambil berlari dia ketawa sendirian kerana memikirkan kebodohan Sang Kura-Kura yang sanggup berlumba dengannya.  Sambil berlari Sang Arnab memandang ke arah belakang. Kelihatan Sang Kura-Kura sedang berjalan dengan begitu perlahan sekali. Sang Arnab pun terus berlari dengan lajunya dan akhirnya Sang Arnab keletihan.  Ia mula berfikir sekiranya ia berehat sebentar tentu Sang Kura-Kura masih tidak dapat mengalahkannya. Maka Sang Arnab pun berhenti di bawah sebatang pokok untuk melepaskan penatnya sambil ia berangan-angan, jika dia menang nanti tentu ramai kawan-kawannya memuji di atas kehebatannya. Akhirnya Sang Arnab pun tertidur dengan nyenyaknya.


Sang Kura-Kura pula terus berjalan dan berjalan, sehinggalah Sang Kura-Kura terlihat Sang Arnab sedang rtidur sambil bersandar di bawah sebatang pokok. Sang Kura-Kura berjalan dengan perlahan-lahan  agar Sang Arnab tidak mendengar sebarang bunyi.

Sang Arnab tertidur kerana keletihan di bawah sebatang pokok

Tiba-tiba Sang Arnab terjaga dari tidurnya. Beliau menyangka Sang Kura-Kura masih lagi berada di belakang. Sang Arnab pun berlari sekuat-kuat hatinya agar dia agar dia  sampai dahulu di pokok besar  itu. Sampai sahaja di sana, Sang Arnab melihat Sang Kura-Kura telah pun sampai dahulu sambil berehat sementara menunggunya. Sang Arnab berasa sangat malu di atas kekalahannya dan juga kerana keangkuhannya terhadap Sang Kura-Kura.


Kura-kura yang menang
Kura-Kura : "Hai Sang Arnab, kenapa engkau lambat sampai".

Arnab : "Hai Sang Kura-Kura, aku minta maaf kerana kesombongan aku tadi. Sebenarnya aku tertidur untuk melepaskan penat. Aku ingat engkau lambat lagi".

Kura-Kura : "Tidak apalah Sang Arnab. Lain kali jangan sangka kita yang terbaik kerana ada lagi tuhan jadikan yang terbaik.  Aku harap kita masih boleh berkawan ya...."


Arnab : "Baiklah Sang Kura-Kura".

Sejak dari itu, Sang Arnab dan Sang Kura-Kura pun menjadi kawan karib.

Kesimpulan dari cerita ini menunjukkan bahawa usaha itu tangga kejayaan. Jangan berhenti segala usaha adik-adik kerana setiap usaha akan beroleh kejayaan akhirnya.   Pada yang kuat pula jangan sombong dan bongkak kerana Allah tidak suka orang yang bersikap demikian. Jumpa lagi dalam cerita yang lain pula.

Jika adik-adik hendak melihat penerbitan  animasi dari Filem Negara Malaysia tentang Sang Arnab dengan Sang Kura-Kura jom klik di bawah ini.


.

ULAR SAWA TIDAK ADA BISA?

  Pada zaman dahulu ular sawa merupakan binatang yang paling berbisa.  Binatang lain tidak mempunyai bisa sebagaimana ular sawa. Ular sawa s...