Isnin, 31 Mei 2021

ULAR SAWA TIDAK ADA BISA?

 Pada zaman dahulu ular sawa merupakan binatang yang paling berbisa.  Binatang lain tidak mempunyai bisa sebagaimana ular sawa. Ular sawa sangat sombong dan bongkak kerana hanya dia sahaja yang mempunyai bisa.  Semua binatang amat takut untuk bertembung dengan ular sawa apatah lagi untuk bertarung dengannya.  Menurut cerita dahulu jika ular sawa mematuk bekas  tapak kaki manusia boleh menyebabkan manusia juga boleh mati kerana bisanya yang terlalu kuat.

Ular Sawa


Pada suatu hari, ular sawa terasa lapar, kerana hampir sebulan dia tidak makan.  Ular sawa pun pergi masuk ke kampung yang  berhampiran dengan hutan, mana tahu akan terjumpa seekor kambing atau lembu yang boleh dijerut untuk dimakan. 

Sedang dia menjalar ke sana ke sini, tiba-tiba dia melihat ada satu kolam yang dipenuhi ikan yang besar-besar.  Dalam hatinya tidak perlulah dia berjalan jauh untuk mencari makan, tetapi ikan yang ada dalam kolam itu pun sudah mencukupi kerana banyak dan besar-besar pula.

Oleh kerana  air dalam kolam tersebut terlalu banyak, maka ular sawa pun berfikir untuk mengeluarkan air tersebut dari kolam supaya mudah dia akan memakan ikan-ikan tersebut.  Disebabkan badannya yang panjang, ular pun bergerak ke depan  supaya ekornya berada di kolam untuk  melibas-libas air kolam tersebut supaya air kolam melimpah dan akan air akan berkurangan.  Setelah berkali-kali ular melibaskan ekornya di kolam tersebut, akhirya paras air kolam semakin kurang dan air semakin sedikit.  Ikan-ikan melompat-lompat kerana paras air semakin berkurangan. Ular merasa sangat letih dan dia berhasrat untuk tidur dahulu sebelum memakan ikan-ikan tersebut.

Semasa ular itu sedang tidur,  beberapa orang kampung kebetulan lalu di kolam tersebut.  Mereka mendapati kesemua ikan-ikan sedang melompat-lompat kerana air kolam telah menjadi kering.   Mereka ternampak ular sawa sedang tidur, dengan senyap mereka pun mengambil ikan-ikan tersebut secara perlahan-lahan supaya tidak mengejutkan ular sawa dari tidur.  Dengan menggunakan bakul, orang kampung mengambil ikan-ikan tersebut sehingga habis.

Apabila ular tersedar dari bangun, cepat-cepat dia memusingkan kepadanya ke kolam untuk melihat betapa banyaknya ikan-ikan yang akan menjadi makanannya.  Alangkah terperanjatnya ular apabila mendapati seekor ikan pun tiada lagi di dalam kolam.  Dia berasa sungguh hairan bagaimana ikan dalam kolam tersebut boleh hilang begitu sahaja.

Tiba-tiba matanya ternampak ada kesan tapak kaki manusia di dalam kolam tersebut.  Ketahuilah ular sawa bahawa semua ikan yang ada dalam kolam tersebut telah diambil oleh manusia. Ular sawa berasa amat marah sekali dan terus mematuk tapak kaki manusia yang telah mengambil ikan tersebut.   

Selepas dia mematuk tapak kaki manusia dalam kolam itu, terdengar bunyi burung gagak di udara sambil memandang ke arahnya.  Bunyi gagak tersebut seolah-olah mengejeknya dengan mengatakan patukannya itu tidak memberi kesan kepada manusia yang mengambil ikan tersebut.   Ular sangat kecewa dan hampa kerana tiada  guna lagi bisa yang ada padanya lalu dia pergi ke pantai.  

Sampai sahaja di pantai, dia memuntahkan bisanya ke laut.  Beratus-ratus binatang nampak ular sawa telah memuntahkan bisanya di pantai.  Banyak binatang memakan bisa ular sawa tersebut dengan harapan mereka akan mempunyai bisa seperti ular sawa.  Antara yang mengambil bisa ular sawa ialah ular laut.   Sebab itulah ular laut sangat bahaya kerana mempunyai bisa yang amat kuat.




 


ULAR SAWA TIDAK ADA BISA?

  Pada zaman dahulu ular sawa merupakan binatang yang paling berbisa.  Binatang lain tidak mempunyai bisa sebagaimana ular sawa. Ular sawa s...